Teori
Behaviorisme
Behavioris yang diperkenalkan
oleh Ivan Pavlov dan dikembangkan oleh Thorndike dan Skinner, berpendapat
bahawa pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Teori
pembelajaran mereka kebanyakannya dihasilkan daripada ujian dan juga
pemerhatian yang dilakukan ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan
burung di dalam makmal. Mereka menumpukan ujian kepada perhubungan antara
‘rangsangan’ dan ‘gerakbalas’ yang menghasilkan perubahan tingkahlaku. Secara
umumnya teori behavioris menyatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran akan
mempengaruhi segala perbuatan atau tingkah laku pelajar sama ada baik atau
sebaliknya. Teori ini juga menjelaskan bahawa tingkah laku pelajar boleh diperhatikan,
dikawal dan diramal.
Teori
Kognitif
Kognitif pula berpendapat
bahawa pembelajaran ialah suatu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran,
dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku. Ahli-ahli
psikologi kognitif seperti Bruner dan Piaget menumpukan kajian kepada pelbagai
jenis pembelajaran dalam proses penyelesaian masalah dan celik akal mengikut
pelbagai peringkat umur dan kebolehan pelajar. Teori-teori pembelajaran mereka
adalah bertumpu kepada cara pembelajaran seperti pemikiran celik akal, kaedah
penyelesaian masalah, penemuan dan pengkategorian. Menurut teori ini, manusia
memiliki struktur kognitif, dan semasa proses pembelajaran, otak akan menyusun
segala maklumat di dalam ingatan.
Teori
Sosial
Sosial pula menyarankan teori
pembelajaran dengan menggabungkan teori mazhab behavioris bersama dengan mazhab
kognitif. Teori ini juga dikenali sebagai Teori Perlakuan Model. Albert
Bandura, seorang tokoh mazhab sosial ini menyatakan bahawa proses pembelajaran
akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan menggunakan pendekatan
‘permodelan’. Beliau menjelaskan lagi bahawa aspek pemerhatian pelajar terhadap
apa yang disampaikan atau dilakukan oleh guru dan juga aspek peniruan oleh
pelajar akan dapat memberikan kesan yang optimum kepada kefahaman pelajar.
Teori
Humanisme
Humanis pula berpendapat
pembelajaran manusia bergantung kepada emosi dan perasaannya. Seorang ahli
mazhab ini, Carl Rogers menyatakan bahawa setiap individu itu mempunyai cara belajar
yang berbeza dengan individu yang lain. Oleh itu, strategi dan pendekatan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah dirancang dan disusun mengikut
kehendak dan perkembangan emosi pelajar itu. Beliau juga menjelaskan bahawa
setiap individu mempunyai potensi dan keinginan untuk mencapai kecemerlangan
kendiri. Maka, guru hendaklah menjaga kendiri pelajar dan memberi bimbingan
supaya potensi mereka dapat diperkembangkan ke tahap optimum.
No comments:
Post a Comment