Monday, December 3, 2018

MODEL PENGURUSAN PEMBELAJARAN


Model Robert Glazer
Robert Glaser mengemukakan model pengajarannya dengan membahagikan proses pengajaran kepada empat komponen utama iaitu objektif pengajaran, pengetahuan sedia ada pelajar, kaedah mengajar dan penilaian. Beliau juga menekankan maklum balas pelajar sebagai aspek penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut beliau, objektif pengajaran harus ditentukan sesuai dengan pengetahuan sedia ada pelajar. Kemudian, kaedah mengajar harus dipilih berdasarkan objektif pengajaran dan pengetahuan sedia ada pelajar. Seterusnya, penilaian harus dijalankan ke atas segala proses pengajaran dengan tujuan untuk mengesan kelemahan, agar guru dapat mengubahsuai proses pengajarannya, demi meningkatkan keberkesanan pengajaran pada masa hadapan. Kesimpulannya, Model Pengajaran Robert Glaser dibina berlandaskan konsep pengajaran sebagai suatu proses yang menitikberatkan langkah-langkah pengajaran iaitu perancangan, pelaksanaan, penilaian dan maklum balas.

Model Sim
Model Pengajaran Sim pula menjelaskan bahawa proses pengajaran yang berlaku adalah melalui interaksi di antara beberapa unsur iaitu guru, murid, isi pelajaran dan juga objektif. Model ini dibina berlandaskan konsep pengajaran sebagai bidang komunikasi, iaitu interaksi di antara guru dan murid dengan objektif dan isi pelajaran dalam suatu persekitaran tertentu. Berdasarkan model ini, objektif pelajaran harus ditentukan secara explisit dan mengikut kebolehan muridmurid. Apa yang membezakan model ini dengan Model Glaser ialah Model Sim menekankan perhubungan yang baik antara guru dengan murid supaya menimbulkan interaksi yang sihat dan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Model ini juga memberi penekanan kepada unsur-unsur persekitaran seperti keadaan bilik darjah yang kondusif sesuai dengan keadaan sosio-ekonomi dan budaya pelajar. Kesimpulannya, dengan pertimbangan-pertimbangan tersebut, interaksi di antara guru, pelajar, objektif, isi pelajaran dan persekitaran dapat diwujudkan dengan berkesan. Seterusnya, keberkesanan proses pengajaran akan dapat dicapai ke tahap optimum.

Model Taba
Model Pengajaran Taba pula menekankan penyusunan bahanbahan pengajaran dalam suatu sistem yang sesuai yang dapat meningkatkan kemahiran berfikir pelajar. Penyusunan maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah diutamakan dalam model ini. Model ini menerangkan bahawa seseorang pelajar melakukan operasi kognitif ke atas bahan pengajaran atau pemilihan sesuatu konsep haruslah dilakukan melalui empat peringkat seperti berikut; menyusun data atau fakta dengan memerhati ciri-ciri persamaan dan perbezaan, menggolong dan mengelas fakta-fakta menjadi kategori dan memberi label kepadanya, membuat generalisasi atau kesimpulan atas hubungan-hubungan antara kategori-kategori itu, dan mengaplikasi generalisasi yang diperolehi. Rumusannya, dengan merujuk kepada model ini, guru dapat merancang pengajaran dengan membahagikan topik kepada generalisasi, konsep dan fakta-fakta yang berguna untuk menentukan kaedah pengajaran yang sesuai.

Model Latihan Terus
Model Arahan Terus pula merupakan satu model pengajaran yang bertujuan untuk membantu pelajar mempelajari ilmu pengetahuan atau kemahiran asas yang boleh diajar dengan cara langkah demi langkah. Model ini juga dikenali sebagai ‘Model Latihan’ dan ‘Model Pengajaran Aktif’. Model ini dibentuk khas untuk merangsang pembelajaran pelajar berkaitan pengetahuan berprosedur (procedural knowledge) yang memerlukan sama ada kemahiran asas atau komprensif dan juga berkaitan ilmu pengetahuan yang memerlukan pengajaran langkah demi langkah. Model ini menekankan aspek pemerhatian pelajar terhadap apa yang ditunjukkan oleh guru sebelum pelajar melakukannya semula.

Model Inkuiri
Model Inkuiri pula merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan, atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti soal selidik ini memerlukan pelajar mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, manjalankan kajian atau siasatan dan seterusnya mendapatkan jawapan dan membuat rumusan. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, terdapat dua jenis teknik inkuiri iaitu ‘inkuiri terbimbing’ dan ‘inkuiri terbuka’. Inkuiri terbimbing memerlukan guru membimbing pelajar menjalankan segala proses kajian. Inkuiri jenis ini sesuai dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Dalam inkuiri terbuka, pelajar tidak diberi sebarang bimbingan. Segala proses kajian dijalankan oleh pelajar sendiri. Oleh itu, ianya sesuai dilaksanakan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi seperti di universiti. Kesimpulannya, model inkuiri ini amat berguna bagi mendapatkan maklumat dan pengetahuan baru dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan.

No comments:

Post a Comment

KAJIAN ORGANISASI DAN KEPIMPINAN

Kajian ini telah dibuat oleh kumpulan saya mengenai salah satu tajuk dari subjek Pengurusan Pembelajaran ini iaitu Organisasi dan Kepimpinan...